BayiHealthKesihatan

KETAHUI PUNCA PENYAKIT KUNING PADA BAYI

0

Penyakit kuning pada bayi atau jaundis adalah penyakit yang biasa melanda bayi baru lahir berusia antara 2-3 hari selepas kelahiran.

Walaupun ia adalah penyakit yang biasa berlaku, rawatan intensif dari pegawai perubatan masih diperlukan. Ada tak sebarang petua hilangkan kuning bayi?

Penyakit kuning pada bayi ini lebih kerap terjadi kepada bayi yang diberi susu ibu, dan ia mengambil masa yang lebih lama untuk pulih semula.

Sebelum kita membincangkan petua hilangkan kuning bayi, mari baca panduan ini dulu untuk lebih memahami tentang penyakit kuning pada bayi.

Apakah penyakit kuning pada bayi?

Penyakit kuning adalah keadaan di mana kulit bayi menjadi kekuningan dan matanya kelihatan putih.

Ia disebabkan oleh paras bilirubin yang berlebihan di dalam darah, dan penimbunan bilirubin pada tisu yang berkenaan.

Bilirubin pula ialah pigmen hempedu berwarna kuning kemerahan yang terhasil akibat pemecahan sel darah merah.

Ketika bayi masih dalam kandungan, tali pusat akan menyingkirkan bilirubin dari badan janin. Selepas dilahirkan, hati bayi akan mengambil alih tugas ini.

Kalau hati bayi belum berkembang sepenuhnya, ia tidak akan dapat melakukan proses ini dengan berkesan.

Apabila bayi lebih tua dan jumlah sel darah merahnya semakin menurun, tahap kekuningan pada bayi juga akan berkurangan. Ini biasanya mengambil masa 1-2 minggu selepas kelahiran.

Mula-mula wajah bayi anda akan menjadi kekuningan, kemudian dada, perut, dan akhirnya tangan dan kaki. Keadaan ini sukar dikesan jika bayi berkulit gelap dan hanya dapat dilihat di bawah sinar matahari.

Jika doktor mengesyaki bayi mempunyai penyakit kuning, dia akan memeriksa tahap bilirubin dalam badan bayi melalui ujian darah. 

Apa yang menyebabkan penyakit kuning pada bayi?

Ini beberapa punca penyakit kuning pada bayi :

  • Kerosakan sel darah disebabkan oleh lebam yang berlaku semasa proses kelahiran atau berlaku bekuan darah di kepala mereka.
  • Antibodi ibu yang menyerang sel darah merah bayi.
  • Kekurangan G6PD
  • Jangkitan sistem air kencing atau darah
  • Penyakit kuning pada bayi yang mengambil masa lebih dari 2 minggu untuk pulih mungkin tanda jangkitan, masalah saluran hempedu, atau tanda penyakit yang menyerang metabolisme
  • Bayi pramatang kerana hati bayi belum berkembang sepenuhnya.

Tetapi ada juga bayi yang mengalami penyakit kuning, walaupun tidak mempunyai sebab-sebab seperti di atas.

Jenis-jenis penyakit kuning pada bayi

1. Fisiologi kuning

Sebanyak 60% bayi baru lahir akan mengalami penyakit kuning jenis ini dalam minggu pertama. Penyakit kuning pada bayi ini disebabkan oleh peningkatan tahap bilirubin dalam tubuh bayi.

2. Penyakit kuning susu ibu

Penyakit kuning susu ibu adalah sejenis penyakit kuning yang berlaku apabila bayi berumur 4-7 hari dan boleh berterusan selama 3 hingga 10 minggu. 

Ini biasanya berlaku kepada bayi pramatang yang sedang menerima susu ibu.

Pakar kurang pasti punca penyakit kuning susu ibu, tetapi teori menganggap ia mungkin disebabkan oleh komponen susu ibu yang menghalang pemecahan bilirubin. Punca penyakit kuning susu ibu juga mungkin akibat keturunan keluarga.

Jangan rasa bersalah dan membuat keputusan terburu-buru untuk berhenti menyusukan anak. 

Selagi bayi anda masih menyusu dengan baik dan paras bilirubinnya sentiasa dipantau, komplikasi yang serius jarang berlaku.

3. Penyakit kuning pada bayi kerana susu ibu tidak mencukupi

Kadar bilirubin yang tinggi boleh mengambil masa yang lebih lama untuk reda apabila bayi tidak mendapat susu yang mencukupi. 

Apabila bayi tidak mendapat susu yang diperlukan, ini akan melambatkan sistem pencernaannya. Bilirubin dalam perut akan diserap kembali ke dalam aliran darah kerana tidak berjaya disingkirkan.

Jangan kelirukan penyakit kuning akibat susu ibu yang tidak mencukupi dengan penyakit kuning susu ibu kerana ia adalah berbeza.

Penyakit kuning pada bayi akibat susu ibu yang tidak cukup disebabkan oleh faktor-faktor berikut :

  • Masalah latching bayi pada puting payudara ibu
  • Susu ibu yang tidak lancar
  • Susu ibu lambat keluar
  • Masa yang terhad untuk menyusu kerana peraturan hospital

Rawatan fototerapi untuk penyakit kuning pada bayi

Doktor hanya akan memutuskan rawatan fototerapi selepas rawatan lain tidak berjaya. Fungsi cahaya biru ialah untuk mengurangkan tahap bilirubin dalam badan bayi anda.

Kedua-dua mata bayi akan ditutup untuk melindunginya dari cahaya terang dan semasa sesi fototerapi, doktor dan jururawat akan memantau tahap bilirubin serta tanda-tanda kesihatan bayi anda.

Tubuh bayi akan dibalikkan beberapa kali untuk memastikan semua bahagian tubuhnya terkena cahaya biru.

Jika bayi mengalami dehidrasi semasa terapi, dia akan diberikan cecair intravena. Apabila tahap bilirubin bayi anda turun, terapi akan dihentikan dan dianggap selesai.

Jika bayi anda kelihatan kuning, hubungi doktor anda untuk mendapat rawatan segera.

Semoga Bermanfaat

Untuk bertanyakan soalan tentang penyakit ini atau pertanyaan tentang promosi, sila tinggalkan pertanyaan anda di ruangan komen.

Poliklinik Az-Zaara

Comments

Leave a reply

Your email address will not be published.

More in Bayi

You may also like