Ada beza ke antara Hyperemesis Gravidarum dengan mabuk hamil biasa?
Hyperemesis gravidarum (HG) adalah komplikasi kehamilan yang menyebabkan rasa loya, muntah-muntah, turun berat badan dan mengalami dehidrasi semasa kehamilan.
Baru-baru ini hyperemesis gravidarum telah mendapat pendedahan yang lebih meluas selepas Kate Middleton didiagnosis dengan komplikasi ini.
Walaupun selepas pendedahan itu, ramai yang masih fikir ibu hamil dengan gejala HG hanya berlakon berlebih-lebihan.
Ada yang memberi komen..
“Kenapa perlu heboh-hebohkan mabuk hamil?”
Tetapi pihak media telah memberi gambaran yang HG adalah versi mabuk hamil yang lebih teruk dan boleh merbahayakan ibu-ibu hamil.
Gambaran sebenar gejala Hyperemesis Gravidarum
Seorang ibu bernama Thembi Johnson telah berkongsi pengalamannya dengan hyperemesis gravidarum:
Semua makanan yang dimasukkan ke dalam mulut akan dimuntah keluar. Setiap bau akan menyebabkan rasa mual.
Apabila Johnson berjumpa doktor, dia didiagnosis dengan hyperemesis gravidarum (HG).
2 minggu selepas dia didiagnosis, Johnson dikejar ke hospital akibat dehidrasi teruk. Tidak lama selepas itu, dia masuk hospital lagi, dan kali ini Johnson terpaksa tinggal di hospital hampir sebulan.
Akhirnya, Johnson dapat pertolongan seorang jururawat yang membuat lawatan ke rumah untuk memberi Johnson nutrisi secara intravena.
Johnson juga disambungkan ke sebuah pam mudah alih yang memberikan ubat anti mual secara berterusan. Dia tidak makan makanan pejal selama lebih daripada sebulan.
“Saya masih ingat peristiwa hari itu. Saya baru pulang dari kedai runcit dan berasa sangat lemah.
Saya masuk ke pintu depan, merangkak ke bilik mandi dan akhirnya saya baring di sana selepas muntah angin – dengan muka atas lantai jubin.
Dua jam kemudian, begitulah keadaan saya apabila suami pulang dengan pintu rumah terbuka lebar dan pintu kereta yang terbuka.
Apabila melihat kaki saya yang menjulur dari pintu tandas, dia ingat saya telah mati!”
Hyperemesis gravidarum tidak sama seperti mual hamil biasa
Tidak lama selepas kehamilan Kate Middleton diumumkan, ibu bapa di HuffPost telah meminta wanita-wanita dengan HG untuk tampil ke depan bagi berkongsi pengalaman mereka.
Dalam masa 24 jam, Huffpost telah menerima lebih daripada 100 e-mel yang menceritakan perjuangan mereka untuk mengekalkan berat badan dan kesan muntah yang teruk sehingga 20 kali sehari.
Ianya sangat jelas yang mual hamil biasa dan HG tidak sama.
Ibu-ibu ini muntah lebih daripada tiga hingga empat kali sehari, langsung tidak dapat makan dan tidak dapat mengekalkan berat badan yang sihat.
Mereka juga terpaksa masuk hospital sampai 14 kali dalam trimester pertama kerana dehidrasi yang teruk.
Yayasan Pendidikan dan Penyelidikan Hyperemesis yang berpangkalan di Oregon (HER) mengatakan ibu-ibu ini selalu kekurangan nutrisi dan mempunyai ketidakseimbangan metabolik yang boleh mengancam nyawa.
Jadi, ibu-ibu hamil semua jangan keliru antara hyperemesis gravidarum dengan mual hamil biasa, ya?
Kedua-dua ini jauh berbeza. Jika anda menunjukkan tanda-tanda seperti HG, jangan lengah, rujuk pakar secepat mungkin.
Semoga Bermanfaat
Comments