Ibu HamilKesihatan

ELAK RISIKO PENYAKIT, INI 5 PERKARA WANITA PERLU LAKUKAN UNTUK JAGA KAWASAN INTIM

0

Penjagaan kesihatan dan kebersihan alat sulit amat penting bagi seseorang wanita. Hal ini kerana anggota tersebut boleh terdedah kepada pelbagai masalah antaranya jangkitan yis atau kulat, penyakit kelamin (STD) mahupun pendarahan yang menandakan penyakit lebih serius seperti kanser serviks.

Jangkitan yis biasanya menyerang tiga daripada empat wanita pada satu masa ketika hayat mereka. Antara simptomnya ialah rasa sakit, gatal, bengkak dan ruam kemerah-merahan pada kawasan vagina di samping keputihan yang likat.

Jangkitan yis dipercayai berpunca daripada kulat jenis candida albicans. Lazimnya, vagina mempunyai gabungan seimbang antara yis dan bakteria baik, di mana bakteria baik ini akan mengawal pertumbuhan kulat.

Namun, jika keseimbangan itu terganggu, pertumbuhan kulat berlaku secara luar kawalan sehingga menyebabkan ia mula merebak ke bahagian lapisan sel vagina yang lebih dalam, seterusnya menyebabkan simptom jangkitan.

Antara faktor yang mengganggu keseimbangan tersebut ialah pengambilan antibiotik, kehamilan, diabetes yang tidak terkawal, gangguan sistem imun serta rawatan terapi hormon yang meningkatkan kadar estrogen.

Jadi, bagaimana untuk menghindari permasalahan tersebut? Jom ikuti lima langkah penjagaan bahagian intim wanita yang sering dikongsikan pakar kesihatan sebelum ini.

1. Pemakanan

Pemakanan memainkan peranan penting dalam seluruh aspek kesihatan, termasuk kesihatan faraj wanita. Sebagai contoh, individu yang kurang zat makanan dipercayai boleh terdedah kepada risiko jangkitan kulat pada vagina.

Makanan mengandungi probiotik seperti yogurt pula dikatakan boleh membantu mengatasi jangkitan yis dan organisma yang menjadi punca jangkitan.

Selain itu, jus cranberry juga dipercayai boleh membantu merawat masalah jangkitan kuman pada saluran kencing.

2. Ruang Bernafas

Pakaian yang ketat boleh mengganggu pengudaraan, menyebabkan kerengsaan dan membuatkan kawasan sulit menjadi lembap. Keadaan ini akan menggalakkan pertumbuhan kulat pada kawasan tersebut. Oleh itu, pakailah pakaian yang longgar dan diperbuat daripada bahan semula jadi seperti kapas bagi menggalakkan pengudaraan.

3. Suntikan Vaksin

Selain jangkitan yis, vagina juga terdedah kepada risiko kanser serviks yang disebabkan oleh human papilloma virus (HPV). Virus ini juga dipercayai boleh menyebabkan jangkitan hati yang serius, hepatitis B yang merebak melalui hubungan seksual.

Suntikan vaksinasi akan membantu tubuh membentuk imuniti terhadap virus berkenaan sekaligus melindungi anda daripada jangkitan. Anda boleh ke hospital kerajaan dan swasta untuk mendapatkan vaksinasi berjadual.

4. Pemeriksaan Kesihatan Secara Berkala

Kajian mendapati semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko anda mendapat kanser serviks. Kanser ini boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal. Antara tanda kanser serviks ialah pendarahan pada alat sulit walaupun selepas menopause di samping rasa sakit ketika bersetubuh.

Oleh itu, pemeriksaan ujian Pap secara berkala seiring dengan peningkatan usia adalah penting agar anda dapat mengenalpasti sebarang permasalahan lebih awal.

5. Penjagaan Kebersihan

Bersifat self-cleaning, vagina tidak memerlukan penggunaan produk pembersihan yang kuat mahupun meruang (douching) bagi mengelakkan permasalahan lain seperti gatal dan berbau. Amalan meruang juga dipercayai boleh mengganggu bakteria baik yang berfungsi untuk mengimbangi pertumbuhan yis di dalam vagina.

Sebaiknya, basuh sahaja menggunakan air atau sabun khusus tanpa pewangi yang mempunyai pH sesuai. Hal ini kerana bahan pewangi dan bahan kimia di dalam produk penjagaan intim mungkin boleh menyebabkan reaksi alergi seperti kegatalan dan kerengsaan pada alat sulit.

Oleh itu, pilih produk yang bebas bahan kimia berbahaya seperti paraben dan SLES, agen penghasilan buih yang sering ditemui dalam produk penjagaan diri.

Penjagaan Kebersihan Diri Ketika Datang Bulan

Sensitif dan mudah terdedah kepada risiko, satu-satunya organ pembiakan wanita ini perlu dipelihara dengan teliti. Malah, penjagaan kesihatan alat intim tidak lengkap tanpa penjagaan kebersihan ketika datang bulan.

Di samping kerap menukar tuala wanita bagi mengelakkan jangkitan bakteria, anda juga perlu memilih tuala wanita yang bebas bahan kimia berbahaya seperti racun perosak yang lazimnya diperoleh dari ladang kapas.

Antara bahan kimia berbahaya lain yang pernah ditemui dalam sesetengah tuala wanita ialah acetone, kloroform dan chloroethane yang dipercayai boleh menyebabkan kanser.

Comments

Comments are closed.

More in Ibu Hamil

You may also like