[ VAKSINASI MELINDUNGI INDIVIDU BERISIKO TINGGI DARI INFLUENZA ]
Flu bukan demam selesema biasa, tetapi kedua-dua penyakit ini berbeza. Ramai yang salah anggap. Sebenarnya flu adalah penyakit sistem pernafasan berjangkit yang disebabkan oleh virus-virus influenza.
Ia boleh terjadi secara tiba-tiba dan individu yang dijangkiti flu biasanya akan mengalami simptom-simptom seperti demam, batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit otot atau badan, sakit kepala, lesu (keletihan), muntah dan dalam kes yang jarang berlaku, cirit-birit (lebih kerap terjadi pada kanak-kanak berbanding orang dewasa).
Malangnya, sesetengah orang mungkin mengalami masalah dan komplikasi lebih serius yang adakalanya boleh membawa maut. Antara komplikasinya termasuklah radang paru-paru (pneumonia), jantung (miokarditis), otak (ensefalitis) atau tisu otot (miositis) dan kegagalan beberapa organ.
Ini adalah kumpulan-kumpulan berisiko tinggi seperti berikut:
– Kanak-kanak di bawah umur 5 tahun (terutamanya yang berusia 2 tahun ke bawah)
– Wanita hamil
– Warga emas melebihi 65 tahun
– Pesakit penyakit kronik
– Individu yang mempunyai masalah pernafasan
Semua orang yang tergolong dalam kumpulan-kumpulan berisiko tinggi ini perlu mengelak dari dijangkiti flu. Salah satu cara yang paling berkesan ialah dengan mendapatkan vaksin untuk mencegah penyakit tersebut.
Semua orang yang berusia 6 bulan ke atas disarankan untuk mendapatkan vaksin flu setiap tahun (bagi melindungi daripada virus-virus flu yang baru bermutasi dalam suatu tahun). Ini benar kerana tiada siapa yang ingin terlantar sakit beberapa hari, atau menyebarkan penyakit kepada ahli keluarga, kawan-kawan, rakan-rakan sekerja atau yang lebih teruk lagi, individu-individu yang berisiko tinggi di sekeliling kita.
KANAK-KANAK
– Kanak-kanak yang menghidap masalah kesihatan kronik seperti lelah dan diabetes jenis 1 juga berisiko tinggi seperti yang ditunjukkan dalam sebuah kajian, mereka adalah 4-21 kali lebih cenderung untuk dimasukkan ke hospital akibat flu. Memberikan vaksin flu kepada kanak-kanak memberi manfaat kepada ibu bapa dan kanak-kanak dengan mengurangkan kekerapan berjumpa doktor, mengelakkan ketidakhadiran ke pejabat dan sekolah, dan yang paling penting, mengelakkan kesengsaraan akibat flu yang teruk dan komplikasi-komplikasinya.
WANITA HAMIL
– Kehamilan menyebabkan pelbagai perubahan pada sistem imun, jantung dan paru-paru. Ini boleh membuatkan wanita hamil (dan sehingga dua minggu selepas bersalin) lebih cenderung untuk mengalami penyakit yang teruk akibat flu dan risiko yang lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital. Mujurlah vaksinasi flu boleh diberikan semasa hamil dan telah terbukti dapat melindungi ibu dan bayi dari flu selama beberapa bulan selepas kelahiran. Bincanglah dengan doktor anda tentang vaksin flu yang sesuai.
WARGA EMAS
– Ramai rakyat Malaysia menghidap satu atau lebih penyakit tidak berjangkit seperti diabetes melitus jenis 2, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kanser, penyakit buah pinggang kronik, dan penyakit hati. Masalah-masalah kesihatan seperti ini membebankan sistem imun dan menyukarkan tubuh untuk melawan dan sembuh dari jangkitan flu. Warga emas, terutamanya yang berusia 65 tahun ke atas, sangat terdedah kepada jangkitan flu. Risiko ini semakin meningkat kerana sistem imun mereka sudah lemah kerana usia yang lanjut.
INDIVIDU YANG MENGHIDAP MASALAH PERNAFASAN
– Influenza boleh menyebabkan keradangan yang lebih teruk pada laluan udara dan paru-paru mereka yang sensitif. Ini akan memburukkan lagi simptom-simptom lelah dan meningkatkan kebarangkalian terjadinya radang paru-paru atau penyakit-penyakit pernafasan yang lain.
Di Poliklinik Az-Zaara masih ada vaksin Influenza untuk individu yang menghidap gejala tersebut dengan harga RM 80 nett.
Semoga bermanfaat.
Poliklinik Az-Zaara
Taman Dato Ahmad Razali Ampang Selangor
03-42663686
atau Whatsapp
»» https://wa.me/601152300300
Comments