HealthKesihatan

NAMPAK REMEH TAPI BERJALAN KAKI, TAK MAKAN MASIN BANTU KURANGKAN RISIKO PENYAKIT JANTUNG..

0

BANYAK kes kematian mengejut disebabkan serangan jantung.

Sesiapa saja boleh mengalami serangan jantung. Ia tidak mengenal usia, malah tanpa diduga orang muda juga boleh terkena penyakit itu.

Malahan, banyak kes kematian mengejut disebabkan serangan jantung berlaku dalam kalangan selebriti dan personaliti terkenal.

Lebih mengejutkan, punca kematian yang tidak disangka-sangka itu turut berlaku pada atlet, termasuk mereka yang aktif bersukan kerana serangan jantung boleh berlaku ketika bersukan.

Hakikatnya, serangan jantung atau masalah kardiovaskular merupakan penyebab utama kematian di Malaysia, percaya atau tidak.

MASALAH JANTUNG

Masalah serangan jantung adalah sinonim dengan istilah lain seperti penyakit jantung koronari atau arteri koronari.

Serangan jantung boleh berlaku sekiranya darah yang dibekalkan ke otot jantung dan berfungsi untuk mengepam darah ke seluruh badan berkurangan secara kritikal atau terhenti.

Ia boleh berlaku sekiranya salah satu daripada koronari arteri iaitu saluran utama yang membekalkan darah ke jantung tersumbat misalnya berpunca daripada darah beku yang terhasil di atas plak.

Plak tersebut pula terjadi akibat masalah aterosklerosis yang berlaku apabila lemak berkumpul di dinding arteri (saluran darah).

Impaknya adalah arteri tersebut menjadi semakin sempit dan tegang, sehingga menyebabkan darah tidak dapat disalurkan ke jantung dengan baik.

Kadar kolestrol ‘jahat’ yang dikenali sebagai kolestrol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) yang tinggi merupakan kunci kepada berlakunya serangan jantung. Ini kerana ia boleh menyebabkan saluran darah tersumbat.

Bahkan, kadar kolestrol ‘baik’ atau kolestrol lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) yang rendah adalah antara sebab lain berlakunya serangan ini.

Kadar kolestrol dalam darah adalah berkait rapat dengan faktor pemakanan dan juga jumlah kolestrol yang dihasilkan oleh tubuh kita sendiri.

Pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak tepu, lemak trans dan kolestrol ‘jahat’ dalam pemakanan secara tidak langsung boleh meningkatkan kadar kolestrol LDL.

Faktor genetik juga memainkan peranan bagi menentukan kadar kolestrol yang dihasilkan oleh tubuh badan.

Antara faktor yang meningkatkan risiko penyakit ini seperti mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghadapi serangan jantung, darah tinggi, kencing manis, obesiti, tekanan, kurang aktif atau tidak bersukan. Ini termasuk mereka yang mempunyai habit merokok.

Comments

Comments are closed.

More in Health

You may also like